Ramai ibu bapa yang teruja setelah mendapat cahaya mata. Ada sudah mula merancang majlis akikah untuk anak mereka. Jika anda ingin membuat majlis akikah, apa kata luangkan seminit dua membaca syarat akikah anak lelaki dan perempuan ini.
Maksud Akikah
Akikah yang biasa kita fahami adalah menyembelih haiwan tertentu dan memberikan daging tersebut kepada golongan yang memerlukan.
Selain daripada itu, diteruskan dengan amalan sunnah seperti cukur jambul, berzanji dan lain-lain amalan untuk memberi berkat kepada majlis sekaligus mendoakan keberkatan bayi yang baru lahir.
Sebenarnya jika dilihat daripada pandangan hukum syarak, akikah dibahagikan kepada 3 elemen:
- Menyembelih binatang
- Mencukur atau memotong rambut anak
- Memberikan nama yang mulia untuk anak
Pendapat daripada ‘Ubaid, Ashmu’i dan Zamakhsyari akikah dari segi bahasa bermaksud “rambut yang tumbuh di atas pada kala waktu lahirnya”.
Hukum akikah anak lelaki dan hukum akikah anak perempuan adalah sunat muakkad – iaitu sunnah yang dituntut dan digalakkan walaupun ianya bukan sesuatu yang wajib.
Imam Syafie’ membuat kesimpulan tersebut daripada hadith yang di mana Nabi SAW bersabda:
“Tiap-tiap anak itu tertebus (terpelihara daripada kemudaratan dan kemungkaran) dengan akikahnya, disembelih haiwan untuknya pada hari ketujuh, dicukur kepalanya dan diberi nama”. (Maksud hadis riwayat Ahmad dan Tirmidzi)
Syarat Akikah Anak Lelaki dan Akikah Anak Perempuan
Secara ringkasnya, akikah dilakukan dengan bahagian seperti berikut:
- 1 ekor kambing untuk anak perempuan
- 2 ekor kambing untuk anak lelaki
- Atau pun seekor lembu dibahagikan kepada 7 bahagian dan 1 bahagian bersamaan 1 ekor kambing.
Bahagian ini adalah daripada hadis riwayat Aisyah berikut
“Rasullulah SAW memerintahkan kepada kami supaya menyembelih akikah untuk anak lelaki dengan dua ekor kambing dan untuk perempuan seekor.”
1 bahagian lembu bersamaan 1 ekor kambing pula ada disebut oleh al-Khatib al-SYarbini Rahimahullah di dalam Kitab Mughni al-Muhtaj:
وَكَالشَّاةِ سُبْعُ بَدَنَةٍ أَوْ بَقَرَةٍ، فَلَوْ ذَبَحَ بَدَنَةً أَوْ بَقَرَةً عَنْ سَبْعَةِ أَوْلَادٍ، أَوْ اشْتَرَكَ جَمَاعَةٌ فِيهَا جَازَ، سَوَاءٌ أَرَادُوا كُلُّهُمْ الْعَقِيقَةَ أَوْ بَعْضُهُمْ الْعَقِيقَةَ وَبَعْضُهُمْ اللَّحْمَ
Maksudnya: dan bagi seekor kambing itu 1/7 (satu bahagian) dari unta dan lembu. Sekiranya disembelih unta atau lembu itu dari 7 orang anak atau dikongsi secara beramai-ramai, ia juga dibolehkan sama ada dengan sembelihan itu kesemua (bahagian) diniatkan untuk akikah atau sebahagian untuk akikah dan sebahagian lagi hanya untuk mendapatkan daging sahaja.
Tetapi, akikah bayi lelaki dengan dua ekor kambing bukanlah satu kewajiban.
Ini kerana Nabi SAW pernah membuat akikah untuk cucu Baginda Saidina Hasan RA dan Saidina Husin RA masing-masing dengan seekor kibas.
5 Syarat Sah Akikah Anak Lelaki dan Perempuan
Untuk ibu bapa yang mencari syarat sah akikah anak lelaki dan perempuan jangan langkau bahagian ini.
1. Niat akikah
Semasa menyembelih binatang akikah, penyembelih perlu berniat aqiqah dengan nama anak yang berkenaan.
Tetapi jika penyembelih terlupa untuk berniat akikah dengan nama bayi tersebut, ibadah akikah masih diterima sekiranya telah berniat untuk melakukan ibadah akikah ke atas anak semasa membeli dan menyembelih.
Akikah tersebut juga sah walaupun anak yang diniatkan itu tiada di lokasi penyembelihan.
2. Binatang ternakan atau akikah berkaki empat
Syarat binatang sah adalah binatang berkaki empat yang halal dimakan tanpa kecacatan fizikal dan dalaman.
Haiwan akikah yang dimaksudkan adalah kambing, kerbau, kibas, biri-biri, lembu dan unta.
3. Memenuhi syarat penyembelihan
Ibadah akikah sah apabila syarat sah sembelihan diikuti dengan sebaiknya.
Antara syaratnya adalah:
- Penyembelih beragama Islam, bukan mumayyiz dan bukan dalam keadaan ihram.
- Binatang tersebut halal dimakan, mati dengan satu penyembelihan dan putus urat halkum dan urat merih.
- Alat sembelihan yang tajam seperti parang, selain daripada gigi, tulang, kuku, rambut dan tali.
4. Binatang akikah adalah sempurna
Selain binatang perlulah berkaki empat dan halal, ia juga harus sempurna dari segi fizikal dan dalaman.
Kecacatan yang menyebabkan haiwan itu tidak sempurna adalah seperti buta sebelah ataupun kedua-dua mata, kaki tempang, mempunyai sebelah telinga atau terlalu kurus dan sakit.
Haiwan tersebut juga perlulah tidak bunting.
Namun jika bunting, haiwan tersebut bukanlah haram dimakan.
5. Binatang cukup umur
Contoh umur haiwan akikah untuk mencukupi syarat akikah anak lelaki dan perempuan adalah:
- Kibas: 1 tahun atau telah gugur gigi hadapannya setelah ia berumur 6 bulan.
- Biri-biri, domba dan kambing: melebihi 1 tahun apabila gugur gigi susuan atau hadapannya
- Lembu dan kerbau: melebihi 2 tahun
- Unta: melebihi lima tahun
Ini pula cara pengagihan daging akikah:
- ⅓ bahagian untuk dimakan sendiri
- ⅓ bahagian untuk sahabat atau kenalan
- ⅓ bahagian untuk saudara Islam yang memerlukan
Ini cumalah anggaran sahaja untuk dibahagikan.
Ini berdasarkan kata-kata Aisyah RA:
“Sesungguhnya haiwan korban untuk akikah itu tidak dipatah-patahkan di bahagian tulangnya, ia juga adalah untuk dimakan oleh kita dan diberi makan (kepada fakir miskin).” (Ibn Abi Shaybah)
Ada yang menganjurkan untuk daging akikah dimasak manis kerana Nabi SAW sukakan madu – namun ini cumalah sunat, terpulang kepada pihak yang membuat akikah untuk menentukan menu apa yang sesuai.
Begitulah syarat sah akikah anak lelaki dan perempuan. Bagi anak yang sudah meningkat dewasa, para ulama’ berpendapat ibu bapa boleh membuat korban dan bukan lagi akikah.
Hal ini kerana, bagi anak-anak yang sudah dewasa atau baligh, mereka boleh membuat akikah sendiri.
Buat anda yang bakal menimang cahaya mata dan mahu membuat akikah, carilah sumber yang boleh dipercayai.
Asalkan objektif utama akikah terlaksana sudah memadai, iaitu memberikannya kepada golongan yang memerlukan.
Semoga persoalan anda cara akikah termasuklah berapa bahagian lembu untuk akikah anak lelaki, atau berapa bahagian lembu untuk akikah anak perempuan terjawab.
Baca Juga :