Seperti yang diketahui umum, ibadah aqiqah adalah antara sunnah Rasulullah dan telah menjadi amalan tradisi bagi sesebuah keluarga islam apabila menyambut kelahiran anak. Akikah dilakukan dengan menyembelih dua ekor kambing bagi anak lelaki manakala seekor kambing bagi anak perempuan.
Dalil Pensyariatan Akikah
Islam menuntut umatnya untuk menunaikan ibadah aqiqah sempena kelahiran anak. Hal ini berdasarkan dalil pensyariatan aqiqah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Salman bin Amir al-Dhabbi RA bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:
مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى
Maksudnya: “Bersama-sama kelahiran bayi ada aqiqahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya” (Riwayat al-Bukhari – 2839)
Maka aqiqah dikategorikan sebagai amalan sunnat muakkad yang sangat dituntut bagi yang berkemampuan untuk melaksanakannya. Manakala bagi ibu bapa yang tidak berkemampuan, tidak dijatuhkan hukum makruh kerana meninggalkan ibadah tersebut dan mereka tidak perlu dibebani dengan tanggungjawab untuk melaksanakannya.
Hukum Akikah Selepas Tempoh yang Disyariatkan
Seperti mana yang disyariatkan dalam islam, aqiqah adalah sunat dilaksanakan pada hari ke-7, hari ke-14 ataupun hari ke-21 kelahiran. Namun sekiranya ibu bapa tidak mampu untuk melaksanakan pada hari-hari tersebut, maka disunatkan untuk dilakukan selepas hari ke-21 sehingga anak mereka baligh.
Bagaimana pula jika anak sudah baligh barulah ibu bapa berkemampuan untuk melaksanakan aqiqah? Jika begitu, para ulama’ menetapkan bahawa sunat bagi ibu bapa melakukan korban dan tidak membuat aqiqah. Anak yang sudah dewasa juga sunat melaksanakan aqiqah untuk diri mereka sendiri setelah dewasa jika berkemampuan.
Hikmah Pensyariatan Aqiqah
- Aqiqah adalah satu bentuk pendekatan diri kepada Allah kerana ianya merupakan suatu ibadah selain menzahirkan rasa syukur dan gembira atas nikmat cahaya mata yang dikurniakan.
- Oleh kerana aqiqah itu dilaksanakan dengan menyembelih binatang tertentu dan diagihkan dagingnya kepada orang ramai, ia dapat mengukuhkan hubungan silaturrahim sesama masyarakat dan ahli keluarga.
- Aqiqah juga dapat menjaga dan melindungi anak dari gangguan syaitan dan keburukan sahsiah dan moral sejak kecil dalam urusan dunia dan akhirat.
Maka, amat rugilah bagi ibu bapa yang mengabaikan aqiqah kerana banyak kebaikan dan ganjaran yang boleh diperoleh oleh mereka dan anak itu sendiri selain hukumnya menjadi makruh akibat meninggalkan amalan sunat tersebut dengan sengaja.