Bolehkah berhutang untuk buat akikah

Bolehkah berhutang untuk buat akikah?

Lahirnya putera atau puteri sulung buat pasangan suami isteri pastinya membuahkan kesyukuran yang tidak dapat digambarkan. Ramai lagi yang masih menunggu kehadiran cahaya mata di luar sana.

Oleh itu pantaslah kiranya kita melaksanakan ibadah akikah ini kan? Namun, ada satu masalah yang mana kos perbelanjaan nak buat akikah ni sekarang dah tak macam dulu-dulu.

Agak-agak sah atau tak jika kita berhutang untuk kita buat akikah? Jom kita kupas dalam artikel ini.

Definisi Hutang

Hutang atau al-qard merujuk kepada penyerahan sesuatu barang atau harta daripada pemiutang kepada penghutang dengan syarat barang tersebut atau sesuatu yang sama nilai dengannya akan digantikan kembali kepada pemilik asal tanpa sebarang penambahan. Orang yang berhutang mempunyai tanggungjawab untuk memulangkan barang yang sama atau serupa dengan apa yang dipinjam tanpa apa-apa tambahan terhadap harta yang dipinjam itu.

Hukum Memberi Hutang

Hukum memberi hutang adalah sunat dan sangat digalakkan kerana orang yang memberi hutang akan mendapat ganjaran yang istimewa di sisi Allah SWT. Ia merupakan satu amalan yang mulia jika tujuannya untuk menolong meringankan bebanan orang yang dalam kesusahan dan kesempitan hidup. Bukan dengan tujuan mengambil kesempatan atau faedah daripada orang-orang yang berhutang. Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Yang bermaksud:  “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” (Surah al-Ma’idah: 2)

Hukum Berhutang

Hukum berhutang pula adalah harus. Walau bagaimanapun dalam lain-lain perkara, hukum berhutang berubah mengikut keadaan. Jika seseorang itu benar-benar kesuntukan dan memerlukan wang untuk membiayai keluarganya, maka wajib untuk dia berhutang. Manakala hukum berhutang bagi pemberi hutang (pemiutang) adalah berubah mengikut keadaan dalam tiga bentuk iaitu:

1. Haram > Jika pemiutang mengetahui hutang tersebut akan digunakan untuk tujuan yang diharamkan seperti minum arak, judi dan sebagainya;

2. Makruh > Jika pemiutang mengetahui hutang tersebut akan digunakan untuk perkara yang tidak bermanfaat atau menunjuk-nunjuk, ataupun penghutang tahu dia tidak mampu membayar semula hutang tersebut; dan

3. Wajib > Jika pemiutang mengetahui orang yang berhutang amat memerlukan hutang tersebut untuk menampung hidupnya dan keluarganya dan tiada cara lain untuk dia memperolehinya kecuali dengan cara berhutang.

Hukum Berhutang Untuk Buat Akikah

Hukum melaksanakan akikah dengan cara berhutang adalah sah disisi syarak. Namun begitu, konsep berhutang dalam melaksanakan sesuatu ibadat adalah satu perkara yang akan menjadi beban yang menyusahkan diri sendiri pada masa akan datang.

Justeru, perbuatan seperti ini adalah tidak digalakkan sama sekali kerana tuntutan beribadat di dalam agama Islam bukanlah bertujuan untuk menyusahkan manusia. Allah SWT berfirman:

مَا يُرِيدُ اللَّـهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍ وَلَـٰكِن يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya“Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” – (Surah al-Maidah: 6)

Buat akikah dahulu atau bayar hutang dahulu?

Hukum berhutang adalah harus sepertimana yang kami sebutkan di atas akan tetapi hukum membayar hutang adalah wajib apabila sudah sampai tempohnya.

Dalam situasi ini lihatlah yang mana sampai dahulu, jika tempoh hutang yang sampai dahulu, maka langsaikan dahulu hutangnya. Jika akikah yang sampai dahulu, maka silakan laksanakan akikahnya.

Sebagai kesimpulan, kami nyatakan bahawa melakukan akikah dengan cara berhutang adalah sah sekiranya telah memenuhi dan menepati rukun-rukun aqiqah. Namun, ianya dihukum sebagai makruh. Ini kerana, amalan berhutang dalam beribadat adalah tidak digalakkan sama sekali.

Sumber :

Portal Rasmi Majlis Agama Islam Selangor. (n.d.). Wang Orang Berhutang. Portal Rasmi Majlis Agama Islam Selangor. Retrieved September 12, 2022, from https://www.mais.gov.my/wang-orang-berhutang/

Ashraf, M. (2020, January 15). Irsyad al-Fatwa siri ke-369: Berhutang Dalam melaksanakan aqiqah. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Retrieved September 12, 2022, from https://www.muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/3990-irsyad-al-fatwa-siri-ke-369-berhutang-dalam-melaksanakan-aqiqah


Baca Juga :

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *