Ibadah akikah adalah suatu amalan yang biasa diamalkan oleh orang Malaysia bagi menyambut kelahiran bayi dalam sesebuah keluarga. Pada asasnya, akikah anak akan dilaksanakan dengan penyembelihan haiwan tertentu berserta mencukur rambut bayi tersebut dan memberi nama kepadanya.
Ibadah akikah ini bukanlah merupakan ibadah wajib yang mesti dilaksanakan oleh semua umat islam, namun ia adalah sunat muakkad yang sangat dituntut untuk kebaikan bayi tersebut. Walau bagaimanapun, bagi ibu bapa yang tidak berkemampuan tidaklah jatuh hukum makruh keatasnya.
Kadar Haiwan untuk Ibadah Akikah
Menurut mazhab Imam Syafi’e, haiwan-haiwan yang digunakan untuk ibadah akikah adalah sama syaratnya dengan ibadah korban. Pada asalnya, akikah dilaksanakan dengan menggunakan haiwan jenis kibas, biri-biri dan kambing sahaja. Tetapi Mazhab Syafi’e membenarkan pemilihan lembu dan unta sebagai haiwan akikah sepertimana ibadah korban.
Namun begitu, haiwan-haiwan yang dipilih untk melaksanakan akikah mestilah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Syarat pemilihan kibas mestilah telah cukup umur satu tahun ataupun telah gugur gigi hadapan iaitu selepas berumur enam bulan. Manakala, bagi kambing dan biri-biri, hendaklah melebihi satu tahun apabila gugur gigi hadapannya. Lembu dan kerbau pula hendaklah melebihi dua tahun. Bahkan unta pula hendaklah berumur melebihi lima tahun.
Waktu yang Paling Baik untuk Melaksanakan Akikah
Menurut Islam, Sunat melakukan akikah pada hari ke-7 kelahiran bayi sekiranya berkemampuan. Ibu bapa juga dibolehkan untuk melaksanakan aqiqah pada hari ke-14 atau hari ke-21 kelahiran. Namun begitu, ganjaran sunat ibadah akikah itu masih layak diperoleh sama ada dilaksanakan sebelum atau selepas hari ke-7 kelahiran bayi.
Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Buraidah bin Husoib al-Aslami RA yang bermaksud:
Penyembelihan akikah dilakukan pada hari ketujuh, atau hari ke-14 atau hari ke-21. (Riwayat al-Baihaqi – 19771)
Sehubungan dengan itu, pendapat yang rajih dalam mazhab Syafi’e menyatakan bahawa hukum sunat itu kekal sehingga anak itu baligh. Selepas anak itu dewasa, anak tersebut disunatkan membuat akikah untuk dirinya sendiri.
Justeru, bagi anak-anak yang berkemampuan setelah dia baligh dan dewasa disunatkan untuk melakukan akikah untuk diri sendiri sebagai tanda syukur kepada Allah SWT atas nikmat kehidupan yang dikurniakan.
Ringkasnya, ibu bapa boleh melaksanakan akikah bagi anak-anak mereka pada hari ke-7, hari ke-14 atau hari ke-21 kelahiran sekiranya berkemampuan. Namun, tidak terdapat masalah untuk dilakukan sebelum hari ke-7 dan pahala sunat nya masih sama. Jadi, ibu bapa boleh pilih waktu dan haiwan sembelihan yang sesuai mengikut kemampuan dari segi ekonomi keluarga mereka.
Baca Juga :